Alhamdulillah, marilah sama-sama kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT, lantaran dengan izin dan kehendak-Nya jua, yang senantiasa menyuntik kekuatan kepada kita untuk terus bangkit menongkah arus perjuangan yang berliku ini.
Tanggal 11 Mei 1946 merupakan detik dan episod yang sangat penting kepada bangsa Melayu. Tarikh keramat inilah buat julung-julung kalinya bangsa Melayu bangkit daripada “lena yang panjang” dan bersatu dalam menentukan nasib bangsa.
Tentunya pada usia 65 tahun, UMNO yang bersendikan Islam ini sudah cukup matang dalam mencatur dan memeta politik nasional. Malahan, UMNO sudah lali dengan pelbagai asakan dan cabaran.
Cabaran yang paling tragis apabila buat pertama kalinya BN kehilangan majoriti dua pertiga dalam pilihanraya umum yang lalu. Akibatnya, orang Melayu tampak seolah-olah hilang punca dan kekuatan. Walau pahit bak hempedu, UMNO tiada jalan lain melainkan perlu bingkas bangun dan sederap menyusun langkah untuk tampil sebagai sebuah parti yang segar dan selari dengan tuntutan rakyat.
Jika benar kita telah menyimpang jauh dari roh dan semangat asal UMNO, kita masih ada masa untuk berubah sesuai dengan landskap politik semasa. Nasib yang lebih buruk pasti menimpa UMNO jika kita masih tidak mahu berubah dengan jelas dan pantas. Kita tidak boleh terus bernostalgia dengan kejayaan silam. Kita perlu bangkit mencipta kejayaan baru bagi mengubat luka rakyat.
Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak selalu Presiden parti, reputasi UMNO kembali mekar dengan Gagasan 1Malaysia, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” . Transformasi politik yang dirintis ini amat selari dan memenuhi aspirasi rakyat. Sementara ahli-ahli UMNO di setiap peringkat pula hendaklah sentiasa mengukuhkan benteng perpaduan bagi memastikan UMNO terus kukuh dan releven.
Yakinlah bahawa kita sedang mengibar panji-panji kebenaran. Hentikan segala polemik yang menjengkelkan. Marilah kita sama-sama menyinsingkan lengan dan menyatukan tenaga dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 dan merealisasikan Wawasan 2020 sebagai pelengkap kejayaan negara. – MediaUMNO